Tajuk perbincangan ini aalah mengenai prinsip-prinsip yang harus dipegang oleh
seorang guru dalam pengajaran khasnya pengajaran bahasa. Guru bahasa perlu
mempunyai prinsip mengenai bagaimana cara bahasa itu diajarkan atau dipelajari.
Dengan berpegang pada prinsip itu maka ia boleh menghasilkan sesuatu bentuk
pengajaran yang baik dan berkesan.
Di samping itu juga guru itu boleh menentukan sejauh mana prinsip-prinsip itu
boleh menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Prinsip-prinsip terbentuk dari dua jenis teori
yang bertentangan iaitu teori behaviorisme dan teori mentalisme. Sesuatu teori
itu menentukan apakah prinsip yang harus dipegang dalam pengajaran.
Menurut Kamus Dewan (1984: 1056), prinsip ialah asas atau dasar yang menjadi
pokok sesuatu pemikiran, kajian, tindakan sesuatu teori. Jadi sesuatu teori itu
menentukan apakah prinsip yang harus dipegang dalam pengajaran.
Berhubung dengan prinsip-prinsip pengajaran bahasa ia adalah hasil dari dapatan
teori-teori pemerolehan bahasa yang pernah disebutkan sebelum ini yang mana
akan dibincangkan dari beberapa sudut. Selain itu terdapat juga prinsip-prinsip
umum supaya pengajaran guru itu lebih menunjukkan keberkesanan.
PRINSIP-PRINSIP YANG BERFALSAFAH ALIRAN
BEHAVIORISME
Teori behaviorisme beranggapan bahawa bahasa diperolehi melalui proses pengulangan
Bahasa dikuasai melalui rangsangan dan gerak balas. Golongan ini mementingkan
pengukuhan dalam pembelajaran yang dapat ditimbulkan melalui ganjaran. Dalam
konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa, teori ini menegaskan latihan dan
latih tubi pola. Teori ini juga menekankan kemahiran lisan dalam pengajaran.
Prinsip-prinsip pengajaran bahasa dari golongan ini adalah dari pandangan dan
pendapat ahli-ahli psikologi dan linguistic Aliran Behaviorisme. Golongan ini
beranggapan bahawa; Pertama, bahasa yang diutamakan ialah bahasa lisan manakala
bahasa tulisan merupakan bahasa kedua penting. Ahli-ahli Behaviorisme
menegaskan bahawa pengajaran bahasa metsilah didahulukan bahasa lisan.
Ini kemudian diikuti dengan bahasa tulisan yang dianggap perkara penting yang
kedua dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna guru-guru mestilah
berusaha untuk membolehkan murid-murid bertutur dalam bahasa itu dahulu dan
kemudian baharulah kepada pengajaran membaca dan menulis. Ini hanya dapat
dilakukan setelah murid-murid dapat menguasai system bahasa dan struktur
bahasa.
Kedua, bahasa adalah satu tabiat. Prinsip ini sesuai diterapkan dalam proses
pembelajaran kedua. Untuk membentuk biasaan ini latihan dan latih tubi serta
perbualan bahasa juga diutamakan. Guru perlu menyusun pelajaran dengan baik dan
pengajaran dimulakan daripada pola-pola yang senang kepada yang lebih susah.
Ketiga, pengukuhan adalah satu syarat penting di dalam pembelajaran disebabkan
ia merupakan satu alat untuk menentukan pembentukan tingkah laku yang
dikehendaki. Dalam situasi pembelajaran bahasa pengukuh-pengukuhnya adalah
pujian, keistemewaan, pengiktirafan, maklum balas, galakan dan sebagainya.
Mengikut prinsip ini sesuatu gerak balas yang betul perlu diteguh oleh guru
dengan cara memberikan pengukuhan seperti yang disebutkan di atas.
Keempat, latihan pembelajaran adalah latihan yang dikukuhkan. Ia merupakan
latihan ulangan satu-satu gerak balas dengan satu-satu rangsangan. Latihan dan
latih tubi hendaklah dilakukan dalam keadaan yang bermakna. Ini adalah untuk
mengelakkan pelajaran tersebut dari berasa bosan.
Peneguhan boleh dilanjutkan oleh guru melalui penggunaan bahan-bahan makmal
bahasa.
Dalam hal ini, satu model pembelajaran telah dikemukakan oleh
Behaviorisme iaitu :
Latihan yang dikukuhkan ---> pembelajaran ---> perubahan tingkah laku.
Kelima, model-model bahasa yang terbaik haruslah diutamakan. Dalam konteks
pembelajaran ahasa di sekolah-sekolah, bahasa guru menjadi model yang diikuti
oleh pelajar-pelajar. Jika model-model ini menggunakan bahasa yang sama atau
mirip-mirip sama dengan bahasa matlamat, maka ini akan menguntungkan
pelajar-pelajar itu.
Dan keenam, mewujudkan operasi rangsangan dan tindak balas dalam proses
pembelajaran. Bahasa adalah hasil operasi rangsangan dan tindak balas.
Pembelajaran bahasa akan lebih berkesan jika kedua-dua unsure ini dapat
diwujudkan. Selain bertujuan menghasilkan satu pembentukan tingkah baru yang
berkesan, ia juga boleh bertindak sebagai daya penggerak dan meningkatkan minat
serta motivasi.
Ada beberapa cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mempelbagaikan situasi
rangsangan. Pertama adalah dengan cara mempelbagaikan tingkah laku. Kedua
adalah dengan cara mempelbagaikan pengalihan saluran deria, ketiga dengan cara
mempelbagaikan pola interaksi guru da murid dan keempat dengan cara
mempelbagaikan pendekatan, kaedah, teknik, strategi dan alat-alat bantu
mengajar.
Berdasarkan teori ini terdapat satu pendekatan yang boleh diaplikasikan dalam
pengajaran dan pembelajaran bahasa iaitu melalui pendekatan induktif.
Pendekatan induktif ialah memulakan sesuatu pengajaran itu dengan memberikan
contoh-contoh terlebih dahulu dan kemudian baharulah diterangkan. Pendekatan
induktif menggunakan model: Contoh ???? Generalisasi
PRINSIP-PRINSIP YANG BERFALSAFAHKAN ALIRAN
MENTALISME
Teori mentalisme menganggap pemerolehan bahasa merupakan satu proses mental.
Menurut golongan ini lagi, seseorang itu mempunyai kecekapan (competence),
iaitu rumus-rumus yang ada dalam stok mental, dan prestasi (performance) yang
merupakan aspek penggunaan bahasa oleh penutur berdasarkan kecekapan. Dalam
pengajaran dan pembelajaran bahasa, aspek pemikiran, pengetahuan dan makna
diberikan penekanan.
Dalam bidang linguistic aliran kod-kognitif tidak ada mencadangkan sebarang
kaedah atau prinsip pengajaran bahasa yang tertentu. Walau bagaimanapun kita
boleh membuat andaian beberapa prinsip pembelajaran yang dapat diwujudkan
melalui pendapat dan pandangan mereka terhaap pemerolehan bahasa.
Prinsip-prinsip itu adalah seperti berikut:
Pertama, pembelajaran bahasa merupakan satu proses mental. Melalui proses ini,
pembelajaran bahasa dianggap sebagai satu proses pemikiran dan pemikiran ini
dilahirkan melalui pertuturan.
Kedua, semua kanak-kanak dapat mempelajari bahasa kerana mereka telah dilahirkan
dengan kebolehan semula jadi untuk berbuat demikian. Dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa guru harus menyedari bahawa kebolehan semula jadi untuk
berbahasa yang ada pada kanak-kanak itu membolehkan mereka menganalisis
pertuturan yang mereka dengar. Guru perlu menggunakan pengetahuan bahasa
murid-murid dalam masa merancang dan menentukan bahan-bahan pengajaran yang
akan diajar nanti.
Ketiga, kadar perkembangan bahasa adalah sama bagi kanak-kanak pada peringkat
kematangan yang sama dalam keadaan yang normal. Prinsp ini mempercayai bahawa
kematangan yang sama di kalangan kanak-kanak akan mempunyai cirri-ciri
pembelajaran bahasa yang sama. Justeru itu, guru hendaklah berhati-hati membuat
pemilihan terhadap bahan-bahan yang hendak disampaikan.
Keempat, penyampaian makna lebih diutamakan daripada struktur bahasa dalam
sesuatu huraian bahasa. Prinsip ini menekankan kebolehan untuk menggunakan
struktur-struktur bahasa yang betul dari segi tatabahasa dan makna bagi
membolehkan kanak-kanak itu berkomunikasi dalam masyarakat bahasa itu. Guru
harus menggunakan aktiviti-aktiviti bahasa yang bermakna dan berkesan untuk
membolehkan kanak-kanak menguasai struktur-struktur bahasa yang terdapat di
dalam system bahasanya dengan baik.
Seterusnya kelima, tulisan dan bacaan adalah diutamakan dalam proses
pembelajaran. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, kajian-kajian bahasa
biasanya dilakukan berasaskan bahasa tulisan. Latihan-latihan tulisan yang
diberi termasklah latihan terjemahan bahan daripada bahasa sasaran ke bahasa
ibunda atau sebaliknya.
Manakala keenam adalah kajian-kajian bahasa disampaikan secara deduktif dan
tatabahasa disampaikan secara formal. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran,
Kajian-kajian bahasa dihuraikan melalui pendekatan deduktif. Ini bermakna,
penyampaian pelajaran itu dimulakan dengan pengajaran terus mengenai
rumus-rumus ata konsep-konsep tatabahasa dan kemudian baharulah diberi
contoh-contoh. Dalam hal mengajarkan tatabahasa kepada pelajar-pelajar biasanya
dilakukan secara formal. Pendekatan deduktif menggunakan model: Generalisasi
??? Contoh
PRINSIP-PRINSIP YANG BERFALSAFAHKAN ALIRAN
INTERAKSIONALISME
Teori ini memandang pembelajaran bahasa adalah sebagai alat interaksi dan ia
merupakan satu proses yang melibatkan mental dan linguistic. Teori ini
menekankan pentingnya proses pembentukan hipotesis mengenai undang-undang
bahasa dalam sesuatu pembelajaran itu. Teori ini juga menyarankan supaya
guru-guru memberi banyak latihan kepada pelajar-pelajar. Prinsip-prinsip yang
dicetuskan daripada pandangan-pandangan ahli-ahli bahasa Interaksionalisme
adalah seperti berikut:
Pertama, penyampaian makna adalah lebih diutamakan dalam komunikasi bahasa.
Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, sama ada pembelajaran bahasa pertama
dan kedua, penyampaian makna adalah penting. Pembelajaran bahasa bukan hanya
mempelajari struktur itu tetapi apa yang lebih penting ialah belajar untuk
interaksi.
Kedua, pembelajaran bahasa merupakan proses mental dan linguistik. Dalam
pengajaran dan pembelajaran bahasa, bahasa yang dituturkan dan makna yang
dimaksudkan adalah
Berhubung rapat. Interaksionalis mementingkan kedua-dua unsure iaitu makna dan
struktur bahasa.
Dan ketiga, pengajaran dan pembelajaran bahasa memerlukan penumpuan terhadap
tugas-tugas atau aktiviti-aktiviti yang bermakna. Jika guru itu dapat
menyampaikan pengajaran dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang bermakna maka
murid-murid berkemampuan untuk menggunakan bahasa itu dengan lancar dan fasih.
PRINSIP-PRINSIP YANG BERFALSAFAHKAN ALIRAN
FUNGSIONALIS
Ahli-ahli bahasa yang menganut fahaman ini bukan sahaja mengkaji bahasa dari
segi strukturnya malah mereka juga memberi perhatian yang serius terhadap
fungsi bahasa itu. Ini bermakna mereka menegaskan bahasa sebagai alat untuk
berkomunikasi . Berikut diperturunkan beberapa prinsip pengajaran bahasa
daripada pandangan dan pendapat ahli-ahli Fungsionalis.
Pertama, system tatabahasa dan fungsi bahasa adalah dua perkara yang
diutamakan. Sesuatu pengajaran itu haruslah memberi pengetahuan kepada murid-murid
tentang sistem tatabahasa atau prinsp-prinsip struktur bahasa yang dipelajari
itu.
Bahasa mempunyai fungsi misalnya untuk menyatakan perasaan dan mendeskripsi
sesuatu objek. Dalam hal ini, bahasa yang digunakan untuk mendeskripsi sesuatu
objek haruslah terdiri daripada ujaran-ujaran yang baik.
Kedua, variasi-variasi bahasa dapat mempertingkatkan tahap kemahiran berbahasa
pelajar-pelajar. Bahasa adalah berkembang. Dari itu, wujudlah beberapa variasi
dalam penggunaannya.
Dan ketiga, bahasa, adalah alat untuk berhubung. Dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa, murid-murid harus dapat menentukan fungsi-fungsi
komunikatif pada bentuk-bentuk bahasa yang mereka kuasai.
Prinsip pertama adalah bahasa yang digunakan mestilah bahasa standard yang
diterima oleh masyarakat dan penutur jati. Bahasa yang baik, betul dan tepat
hendaklah digunakan oleh guru-guru bahasa sewaktu menyampaikan pengajaran
mereka. Ia juga boleh diterima oleh masyarakat dan penutur jati bahasa itu.
Bahasa itu juga mestilah standard. Selain itu, perkataan dan ayat mestilah
mempunyai urutan yang baik dan tidak janggal kepada pendengar atau penutur jati
bahasa itu.
Prinsip kedua adalah pengajaran bahasa haruslah berdasarkan pendekatan lisan.
Pengajaran lisan penting dalam pengajaran bahasa kerana ia bersesuaian dengan
proses semula jadi kanak-kanak. Mengikut Awang Mohammad Amin (Kamarudin,
2001:56) mengatakan dalam proses penguasaan pertama, seorang anak memperoleh
kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur adalah daripada orang-orang yang
hamper dengan kehidupannya seperti ibu bapa dan kaum keluarga atau penjaganya.
Perkara kedua penting ialah kerana lisan adalah lebih senang dikuasai daripada
perkara-perkara lain yang dipelajari. Selain itu, kemahiran lisan adalah punca
kepada segala kemahiran yang lain. Ini bermakna kemahiran mendengar dan
bertuutur adalah asas kepada kemahiran menulis dan membaca.
Prinsip ketiga adalah bahan-bahan pengajaran hendaklah dipilih, disusun,
dikawal dan dipertingkatkan.
(a)
Pemilihan bahan-bahan pengajaran
Pemilihan
bahan-bahan pengajaran adalah proses mencari bahan-bahan yang dihasilkan iaitu
yang sesuai untuk pengajaran bahasa. Pemilihan dipengaruhi oleh tujuan dan guna
serta tingkat pencapaian pelajar-pelajar itu.
(b)
Penyusunan bahan-bahan pengajaran
Bahan-bahan pengajaran harus disusun supaya perkembangannya maju iaitu secara
beransur-ansur dengan tertib dari peringkat awal hingga peringkat akhir.
Susunan bahan-bahan pengajaran dapat mengelakkan pengajaran berlaku secara
kucar-kacir.
(c)
Kawalan bahan-bahan pengajaran
Ini
adalah bertujuan supaya bahan-bahan pelajaran bahasa dapat disampaikan secara
berseimbangan. Ini bermakna guru harus dapat mengawal masa dan bahan-bahan yang
hendak disampaikan sesuai dengan satu-satu waktu mengajar yang ditentukan.
(d)
Pemeringkatan bahan-bahan pengajaran
Bahan-ahan
pengajaran yang hendak disampaikan itu seharusnya dirancangkan terleih dahulu
kerana dari segi belakang keluarga, pengalaman, kecenderungan dan kebolehan
pelajar-pelajar adalah berbeza. Selain daripada pemilihan dan susunan yang
dilakukan, bahan-bahan itu juga perlu diperingkat-peringkatkan mengikut
kesesuaian.
Prinsip keempat adalah penguasaan kemahiran bahasa haruslah mengikut susunan
iaitu mendengar, bertutur, mambaca dan menulis. Mengikut prinsip ini, mendengar
dan bertutur perlu diajar terlebih dahulu dan kemudian baharulah membaca dan
menulis. Oleh itu sebutan guru itu hendaklah jelas dan terang yang mana ia
menjadi contoh yang baik bagi murid-murid. Sebutan yang betul akan terbawa
kepada bacaan yang mengikut cirri-ciri prosodinya dan seterusnya bahan bacaan
ini akan dirakamkan ke dalam bentuk tulisan. Prinsip ini menekankan bahawa
tiap-tiap satu kemahiran itu harus dilakukan mengikut susunan, iaitu satu
kemahiran disusuli dengan kemahiran yang satu lagi.
Prinsip kelima adalah aktiviti-aktiviti pengajaran-pengajaran yang menarik dan
bermakna hendaklah diadakan. Aktiviti-aktiviti yang menarik dan bermakna adalah
penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran sebagai menarik minat
murid-murid untuk menumpukan separuh perhatian pengajaran guru itu. Jadi guru
mestilah aktif dan Menggunakan alat-alat Bantu mengajar yang sesuai supaya
murid-murid tidak berasa bosan. Manakala kesesuaian pemilihan bahan-bahan
pengajaran, pengendalian yang terancang penggunaan kaedah dan teknik yang
selaras, kesesuaian aktiviti serta interaksi guru dan murid yang baik akan
mewujudkan satu suasana yang baik dan menarik.
Prinsip keenam adalah mengadakan rancangan pelajaran yang kemas dan teratur.
Kewajipan guru adalah menyusun rancangan pelajaran dengan baik untuk digunakan
dalam jangka masa setahun. Rancangan pelajaran itu mesti disusun dengan teliti
dan hati-hati.
Prinsip ketujuh adalah mengadakan suasana belajar yang baik dan berkesan. Guru
harus boleh mewujudkan satu suasana yang baik. Pengajaran dan pembelajaran akan
berjalan dengan licin dan hasilnya juga akan berkesan.
Manakala prinsip kelapan merupakan penilaian pengajaran yang diberikan.
Seseorang guru yang dedikasi dan cekap harus dapat menilai pekerjaannya sendiri
supaya dia menyedari adakah pekerjaannya itu benar-benar mengikut dasar-dasar
pengajaran yang baik. Jika sekiranya terdapat beberapa kekurangan dalam
pengajarannya itu maka dia harus segera membetulkannya. Guru yang baik akan
sentiasa berusaha mengatasi kekurangan-kekurangan sendiri dengan menyediakan
kelengkapan-kelengkapan yang lebih bermutu.
Sebagai kesmpulannya, terdapat empat prinsip pengajaran yang mengikut falsafah
masing-masing. Pertama prinsip yang berfalsafahkan aliran Behaviorisme iaitu
mengutamakan bahasa lisan dalam pengajaran. Manakala aliran Mentalisme
menganggap pembelajaran bahasa adalah satu proses pemikiran. Aliran
Interaksionalisme pula mempunyai prinsip yang mana penyampaian makna amat
penting dalam sesuatu komunikasi bahasa dan seterusnya aliran Fungsionalisme
menekankan system tatabahasa dan fungsi adalah dua perkara yang diutamakan.
Seseorang guru itu tidak patut berpegang sama ada pada prinsip-prinsip
Behaviorisme atau prinsip-prinsip Mentalisme. Ini adalah kerana cara
pembelajaran seseorang pelajar dengan pelajar yang lain adalah tidak sama.
Kedua-duanya boleh saja digabungkan dalam pengajaran seseorang guru itu kerana
seperti yang pernah dijelaskan sebelum ini kedua-dua teori tersebut adalah saling
melengkapi. Prinsip-prinsip dari golongan tersebut hanya sebagai jalan keluar
bagi guru tersebut dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi tidak kira
dalam pengajarannya atau dalam pembelajaran pelajarnya. Dengan berbekalkan
pengalaman yang sedia ada dari guru itu dan menerapkan prinsip-prinsip yang
tersebut di atas maka pengajaran yang disampaikan akan lebih efisen dan akan
lebih terjamin mutunya.
Rujukan:
Abd Aziz Abd Talib, (2000), Pedagogi Bahasa Melayu, Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Ab. Rahman Ab. Rashid, Yap Kim Fatt & Ab. Rahim Selamat, (1997), Pengajian
Melayu I, Petaling Jaya : Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Kamarudin Hj. Husin, (1998), KBSM dan Model-model Pengajaran Bahasa, Selangor :
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., (1998),
Pedagogi Bahasa, Petaling Bahasa, Petaling Jaya :
Longman Malaysia Sdn. Bhd.
(2001), Pedagogi Bahasa Perkaedahan, Selangor : Kumpulan Budiman
Sdn. Bhd.